Minggu, 28 Februari 21

Pengaruh Bacaan Al-Qur’an terhadap Kekebalan Tubuh

Pengaruh Bacaan Al-Qur’an terhadap Kekebalan Tubuh
* Baca Al-Qur'an. (Foto: MuslimSG)

Oleh: Muhammad Fahmi bin Md Ramzan, Pengemban Dakwah

Di kala wabah Covid-19 rakus menyerang masyarakat dunia, ramai orang yang merasa stress, sedih, gelisah bahkan dihantui dengan ketakutan mendalam terhadap jangkitan virus tersebut serta implikasi penularannya terhadap kelangsungan hidup.

Natijahnya, ia sedikit sebanyak boleh mengakibatkan sistem imuniti atau ketahanan (kekebalan) tubuh seseorang menurun dan dengan mudah boleh menyebabkan jatuh sakit. Walhal salah satu cara untuk mencegah jangkitan virus atau pelbagai jangkitan penyakit lainnya ialah dengan memiliki sistem ketahanan tubuh yang baik.

Dalam situasi mencabar ini, amat penting untuk memastikan tubuh badan dibekali dengan sistem ketahanan (imuniti) yang utuh melalui beberapa cara seperti penjagaan pemakanan dan amalan gaya hidup sihat.

Selain itu, untuk mendapatkan bekalan sistem imuniti tubuh yang utuh, Islam telah menggariskan beberapa kaedah terbaik yang terbukti berkesan dan ampuh, salah satunya ialah dengan memperbanyak membaca dan mendengarkan ayat suci al-Quran.

Berdasarkan beberapa kajian yang dijalankan, membaca dan mendengarkan ayat suci al-Quran ternyata dapat menimbulkan ketenangan jiwa dan dapat meningkatkan daya imuniti tubuh seterusnya dapat menangkis serangan pelbagai penyakit.

Sebagaimana disampaikan oleh Dr. Ahmad Rajai al-Jindi yang mengemukakan suatu kajian berkenaan pengaruh bacaan al-Quran terhadap tubuh badan manusia yang mana ia telah dijalankan oleh Dr. Ahmad al-Qadhi, iaitu Pengarah Institut Perubatan Islam untuk Pendidikan dan Penyelidikan di Florida, Amerika Syarikat. Dr. Ahmad al-Qadhi telah melakukan pembentangan hasil kajiannya dengan tema pengaruh bacaan al-Quran terhadap manusia dari aspek fisiologi dan psikologi sewaktu Persidangan Tahunan ke-17, Persatuan Doktor se-Amerika.

Kajian tersebut menunjukkan hasil positif yang membuktikan bahawa mendengarkan ayat suci al-Quran ternyata mempunyai pengaruh yang signifikan dalam menurunkan ketegangan urat saraf reflektif. Hasil kajian beliau juga menunjukkan membaca al-Quran dengan bersuara akan memberikan pengaruh yang luar biasa terhadap sel-sel otak untuk mengembalikan keseimbangannya.

Ia seterusnya dapat menimbulkan ketenangan jiwa yang dapat meningkatkan daya imuniti tubuh dalam melawan serangan pelbagai macam penyakit.

Penyataan ini didasari pada satu kajian lapangan yang dilaksanakan oleh Dr. Ahmad al-Qadhi yang melakukan 120 eksperimen terhadap lima orang responden, dengan jantina dan kelompok umur yang berbeza, non-Muslim dan penutur bahasa non-Arab.

Responden diperdengarkan dengan lantunan ayat-ayat suci al-Quran dan teks-teks Arab biasa. Kajian yang dijalankan dengan menggunakan sistem yang cukup canggih di Panama City, Florida, Amerika Syarikat menunjukkan adanya perubahan fisiologi yang terjadi pada sistem saraf responden setelah diperdengarkan bacaan ayat al-Quran.

Lebih menakjubkan, hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat 97 % kesan positif terhadap responden yang mendengarkan bacaan dari ayat-ayat al-Quran berbanding responden yang hanya mendengarkan teks-teks Arab biasa. (Rujukan: https://www.kuna.net.kw/ArticlePrintPage.aspx?id=1177614&language=en)

Kajian lain turut menyokong hasil dapatan yang dikemukakan oleh Dr. Ahmad al-Qadhi. Sebagai contoh, Akbar Pejhan dan Hassan Ravansalar melalui artikelnya yang bertajuk _”The Effect of Hearing of Holy Quran Voice on Immune System Factors in Human”_, telah mengungkapkan bahawa mendengarkan bacaan ayat al-Quran sekurang-kurangnya 20 minit dapat meningkatkan sistem ketahanan tubuh. (Rujukan: Akbar Pejhan dan Hassan Ravansalar, “The Effect of Hearing of Holy Quran Voice on Immune System Factors in Human,” Journal of Sabzevar University of Medical Sciences, vol. 21, (2014), 60-70)

Selain itu, kajian yang dijalankan oleh Ashraf Ghiasi dan Afsaneh Keramat melalui artikel bertajuk, “The Effect of Listening to Holy Quran Recitation on Anxiety: A Systematic Review” juga turut membuktikan bahawa mendengarkan bacaan ayat suci al-Quran dapat menurunkan kadar rasa cemas dalam diri sekaligus juga berpotensi meningkatkan daya tahan tubuh. (Rujukan: Ashraf Ghiasi dan Afsaneh Keramat, “The Effect of Listening to Holy Quran Recitation on Anxiety: A Systematic Review,” Iranian Journal of Nursing and Midwifery Research, vol. 23 (2018), 411-420)

Dapatan kajian di atas senada dengan apa yang pernah ditulis oleh Hammad melalui artikelnya yang bertajuk, “Peran Terapi al-Quran Terhadap Kecemasan dan Imunitas Pasien Hospitalisasi”. Melalui kajian yang dijalankan, beliau menyimpulkan bahawa terapi al-Quran melalui lantunan ayat-ayatnya dapat menurunkan tahap rasa cemas dan berpotensi meningkatkan imuniti pesakit yang sedang menjalani rawatan di hospital. Dengan diperdengarkan bacaan ayat al-Quran, pesakit merasa lebih tenang dan mendapat maklum balas emosi positif yang dapat menghindarkan dirinya daripada stress. (Rujukan: Hammad, “Peran Terapi al-Quran Terhadap Kecemasan dan Imunitas Pasien Hospitalisasi,” Jurnal Ners, vol. 4 (2009), 110-115)

Sewaktu membaca al-Quran, kita juga disarankan untuk membaca dengan bersuara kerana selain daripada memperolehi manfaat bacaan dari sudut ganjaran pahala (1 huruf digandakan 10), secara tidak langsung juga akan mendapat manfaat melalui lantunan ayat-ayat yang didengari yang sudah pasti memberikan manfaat yang besar dari aspek rohani, mental mahupun jasmani. Dari aspek rohani, hati akan menjadi lebih tenang, dari sudut mental, emosi akan menjadi lebih stabil, sekaligus memberi kesan positif kepada aspek jasmani, iaitu fungsi jantung lebih baik dan tubuh badan akan menjadi lebih relaks. Hal ini juga dihuraikan di dalam artikel bertajuk, “The Effect of Recitation Quran on the Human Emotions”. (Rujukan: Eman Ghanem Nayef dan Muhammad Nubli Abdul Wahab, “The Effect of Recitation Quran on the Human Emotions,” International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, vol. 8 (2018), 50-70)

Berdasarkan kajian-kajian yang dikemukakan di atas, kita dapat mengambil suatu kesimpulan bahawa membaca atau mendengarkan bacaan ayat suci al-Quran ternyata dapat mengendurkan saraf yang tegang, sehingga timbullah ketenangan jiwa yang dapat menghilangkan stress, menstabilkan emosi dan menjadikan sistem imuniti tubuh badan kita meningkat dan menjadi lebih baik. Ketika imuniti tubuh menjadi baik, maka ia mampu untuk melawan serangan pelbagai macam penyakit.

Hakikatnya, di dalam ayat al-Quran sendiri jelas telah mengisyaratkan akan hal ini (manfaat dan kelebihannya).

Firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

“Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim melainkan kerugian.” (Al-Isrā’, 17: 82)

Pada redaksi ayat di atas, Allah Ta’ala menggunakan lafaz Syifā’ (شفاء) bukannya Dawā’ (دواء).

Hal tersebut kerana Dawā’ (ubat) membawa konotasi kata yang bermaksud medium penyembuhan yang kadang boleh sembuh dan kadang juga tidak.

Adapun Syifā’ (penawar) pula sinonim dengan penggunaan kata penyembuhan yang pasti, jika diamalkan secara ikhlas, yakin dan berbaik sangka kepada Allah SWT serta menanamkan dalam keyakinan kita bahawa hanya Allah Yang Maha Penyembuh (الشافي). (Rujukan: Abdullāh bin Muḥammad bin Aḥmad aṭ-Ṭoyyār, “Kaifa Tatakhluṣ min al-Siḥr (كيف تتخلص من السحر)”, hlm. 27-28.)

Apabila ditinjau pula hadith Rasulullah SAW, sememangnya banyak manfaat yang diperolehi bagi mereka yang membaca Al-Quran:

*وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

“Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah membaca Kitabullah dan saling mengajarkan satu dan lainnya melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), akan dinaungi rahmat, akan dikeliling para malaikat dan Allah akan menyebut-nyebut mereka di sisi makhluk yang dimuliakan di sisi-Nya.” (HR. Muslim, no. 2699)

Tuntasnya, al-Quran bukan sahaja menjadi pedoman hidup dan sumber ilmu pengetahuan, bahkan turut menawarkan khasiat dari aspek rohani dan jasmani serta mental dan fizikal umat manusia.

Justeru, di kala fenomena pandemi Covid-19 ini masih bermaharajalela, jadikanlah Al-Quran sebagai salah satu “vaksin” atau “antibodi” kita dengan memperbanyak membaca dan mendengarkannya dalam masa yang sama terus menjaga kebersihan dan kesehatan diri. Tidak lupa juga untuk terus membidikkan panah-panah doa supaya “musim” wabah ini segera berakhir. (*)

Related posts

Komentar

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.